Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kata-kata semangat yang diberikan pengurusan Sri Pahang FC dan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menjadi sumber kekuatan buat Abdul Malik Mat Ariff.
Justeru, beliau berterima kasih kepada pemilik Sri Pahang FC, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Dato’ Mohammed Sufian Awang; Setiausaha Agung PBNP, Norlia Abd Manaf dan ketua jurulatih, Dollah Salleh.
Katanya, keprihatinan dalam soal kebajikan untuk memastikan kembali pulih memberi kekuatan untuk bersama pasukan selepas dua bulan.
“Dengan kata-kata semangat yang diberikan mereka, saya kini pulih dan mahu membalasnya dengan tampil pada prestasi terbaik pada perlawanan akan datang.
“Saya harap sokongan daripada rakan sepasukan untuk bersama meletakkan Sri Pahang pada kedudukan lebih baik pada saingan Liga Super musim ini.
“Saya percaya kedudukan ke-11 ini pasti akan dapat diperbaiki dengan sokongan semua,” kata pemain berumur 28 tahun itu.
Pada 16 April lalu, Abdul Malik tampil buat kali pertama dalam saingan Liga Super ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Biarpun hanya diturunkan pada babak kedua perlawanan, Dollah berbangga dengan komitmen dan prestasi yang dipersembahkan Abdul Malik walaupun baru dua hari menyertai latihan.
Disebabkan mengalami penyakit misteri itu juga, Abdul Malik terlepas lapan perlawanan Liga Super.
Kehadiran penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana 2016 dan 2017 itu juga sedikit sebanyak melegakan Dollah susulan prestasi hambar yang dipersembahkan jentera serangan pasukan itu.