Mamadou perlu lebih tangkas

Mamadou perlu lebih tangkas

PENJAGA utama Sri Pahang FC, Mamadou Samassa perlu lebih kemas menjaga gawang apabila berdepan Sarawak United di Stadium Darul Makmur, Rabu ini.

Ketua jurulatihnya, Christophe Gamel, berkata persembahan penjaga gol Mali itu ketika ini belum berada pada prestasi terbaik seperti yang diinginkan.

Justeru, katanya, Mamadou perlu kekal konsisten sepanjang 90 minit perlawanan dalam usaha membantu gawang pasukan tidak dibolosi.

“Persembahan Mamadou biasa sahaja walaupun menyelamatkan dua atau tiga percubaan berbahaya pemain Kuala Lumpur (KL) City FC, kelmarin. Tapi, itu memang tugasnya sebagai penjaga gol.

“Memang kita menang 2-1 ke atas KL City tetapi kesilapan mudahnya meletakkan kita dalam masalah jika prestinya tidak berada pada tahap terbaik. 

“Oleh itu, saya harapkan persembahan lebih baik daripadanya terutama dia adalah penjaga gol import,” kata jurulatih dari Perancis itu.

Kelmarin, selepas mendahului 2-0, Mamadou melakukan kesilapan mudah apabila gagal menangkap bola dengan kemas membolehkan pemain KL City FC, Paulo Josue merapatkan jurang 2-1, pada minit ke-86.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN