KUANTAN: Dua kali terkejut dan dua kali teruja untuk dua tahun berturut-turut.
Itu dirasakan pegawai khidmat pelanggan di Wisma Sri Pahang, Nozalilah Abu Salim, 32, sebaik mendengar pengumuman mengenai insentif sebanyak RM1,200 kepada setiap penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri seperti diumumkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika membentangkan Belanjawan 2022 Pahang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, Isnin lalu.
“Masa bajet (Belanjawan 2021 Pahang) tahun lalu, saya ingatkan cuma dapat ratus-ratus (RM) sahaja tapi terkejut bila MB (Menteri Besar) umum insentif RM1,000.
“Tahun ini pula dapat lagi banyak sedangkan saya jangka cuma dapat sama macam tahun lalu. Dua tahun terkejut tapi memang gembira sangat.
“Terima kasih banyak-banyak MB… mana lagi nak cari MB macam ini,” kata ibu kepada dua anak lelaki berusia lima bulan dan dua tahun itu.
Bagi Mohd Alisam Abdul Jabat pula, dia terharu apabila mendapat tahu berita gembira itu.
“Bagi kami penjawat awam, pengumuman seperti ini memang amat dinantikan apatah lagi dalam keadaan sekarang yang mana harga barangan keperluan tinggi.
“Alhamdulillah, saya bangga dapat YAB MB yang prihatin seperti dia yang prihatin dan tidak memilih bulu… semua orang merasa,” katanya yang berpengalaman 20 tahun bertugas sebagai pengawal di Wisma Sri Pahang.
Dalam pembentangan Belanjawan 2022 Pahang Isnin lalu, Wan Rosdy mengumumkan insentif sebanyak RM1,200 kepada setiap penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri bagi semua gred.
Insentif itu membabitkan peruntukan sebanyak RM9.6 juta untuk dnikmati 8,000 penjawat awam. Bayaran itu akan dikreditkan pada minggu ketiga Januari 2022. – HELMY ABD RAHMAN