KUANTAN: Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu terus berkurangan apabila merekodkan 6,099 mangsa daripada 1,924 keluarga sehingga kira-kira 10 pagi, hari ini.
Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 4,184 mangsa daripada 1,374 keluarga berada di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan.
Info terkini Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula menyatakan Terengganu merekodkan 1,915 orang daripada 550 keluarga berada di 16 PPS.
Dua daerah yang masih terjejas banjir di Kelantan ialah Pasir Mas dan Tumpat manakala di Terengganu pula membabitkan lima daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Besut, Setiu serta Dungun. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN