KUANTAN: Calon yang terlepas daripada mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan ini disebabkan banjir di Karak adalah antara 2,590 calon di Pahang yang akan menduduki sesi kedua peperiksaan itu pada bulan depan dan Mei ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman, berkata terdapat pelajar dari Karak, Bentong, tidak dapat menghadiri peperiksaan akibat banjir lumpur pada 10 Mac lalu.
“Calon terbabit tidak dapat pergi ke pusat peperiksaan disebabkan jalan di kawasan kediamannya tidak dapat digunakan akibat banjir lumpur.
“Calon itu akan menyertai calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan disebabkan COVID-19. Ada juga calon yang terlepas sesetengah subjek pada sesi pertama dan mereka dijadualkan menduduki peperiksaan pada sesi kedua di pusat peperiksaan terpilih di negeri ini,” katanya, ketika ditemui di Sekolah Menengah Teknik di sini, semalam.
Beliau melawat sekolah berkenaan untuk mengucapkan selamat jalan kepada calon SPM yang akan pulang ke kampung masing-masing selepas selesai kertas terakhir, semalam.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, sesi kedua yang akan berlangsung pada 5 April hingga 19 Mei ini akan turut disertai mereka yang terlepas ujian lisan, mendengar, penulisan dan sains.
Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata seramai 85,700 calon akan menduduki sesi kedua peperiksaan SPM.
Kementerian Pendidikan pada 26 Mac lalu memaklumkan, calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan SPM antara 8 Februari hingga 29 Mac akibat dijangkiti COVID-19, menjalani perintah kuarantin, terjejas banjir dan kes-kes tertentu yang dibenarkan Pengarah Peperiksaan, boleh menduduki sesi kedua peperiksaan berkenaan. – HELMY ABD RAHMAN