BALING: Wajah ceria jelas terbayang pada wajah lebih 1,000 mangsa banjir di Kampung Iboi, Kupang, di sini, saat menyambut ketibaan delegasi dari Pahang diketuai EXCO Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad di Dataran Keluarga Malaysia di sini, hari ini.
Kedatangan Syed Ibrahim yang juga Ketua Penerangan Badan Pehubugan UMNO Pahang itu bagi mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyempurnakan Majlis Bantuan Wang Ihsan Kepada Mangsa Bencana Banjir ‘Tragedi Kepala Air Iboi’.
Syed Ibrahim berkata, sumbangan wang berkenaan hasil kutipan derma orang ramai di setiap masjid di Pahang sejak sebulan lalu selepas dititahkan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah.
Katanya, selain bantuan itu, pihaknya menyampaikan sumbangan sebanyak RM25,000 daripada Kerajaan Pahang untuk empat masjid dan satu surau yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) ketika selepas berlaku bencana banjir disebabkan kepala air sebanyak dua kali dalam tempoh dua bulan.
“Alhamdulillah, secara keseluruhannya kita dapat mengumpulkan lebih RM200,000 untuk diagihkan kepada semua mangsa banjir terbabit selain sumbangan Kerajaan Pahang sebanyak RM5,000 untuk masjid dan surau yang dijadikan PPS.
“Kita di Pahang bersimpati atas musibah yang dialami, apatah lagi kami pernah mengalami musibah serupa sebelum ini,” katanya yang turut diiringi barisan kepemimpinan unit penerangan beberapa bahagian UMNO Pahang.
Hadir sama, Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, Parlimen Baling dan penduduk yang terjejas akibat kejadian itu amat bersyukur dengan bantuan yang diterima dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, kerajaan negeri dan penduduk Pahang.
“Kami menjunjung kasih kepada Duli Tuanku yang menitahkan supaya kutipan derma ini diusahakan setiap Jumaat di setiap masjid di Pahang.
“Jasa dan keprihatinan mereka (rakyat Pahang) atas usaha ini,” katanya kepada media selepas penyampaian bantuan. – HELMY ABD RAHMAN