Mangsa banjir di Janda Baik dapat bantuan RM1,000

Mangsa banjir di Janda Baik dapat bantuan RM1,000

KUANTAN: Kerajaan Persekutuan akan memberikan bantuan kecemasan RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa banjir kilat dan tanah runtuh di Janda Baik, Bentong.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagi meringankan beban akibat kerosakan peralatan rumah.

Katanya, bantuan itu akan disampaikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama setiausaha politiknya, apabila mereka melawat mangsa nanti.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) , Tan Sri Dato Sri Mohd Zuki  Ali petang tadi menyerahkan  bantuan banjir   di kampung Janda Baik.

“Rasa simpati terhadap Keluarga Malaysia yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh disebabkan kepala air di Janda Baik, Bentong, Pahang.

“Oleh itu, kerajaan akan beri bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga bagi meringankan beban akibat kerosakan peralatan rumah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Beliau yang kini berada di Amerika Syarikat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Washington DC, berkata meskipun penduduk dalam keadaan selamat dan ramai yang sudah pulang untuk mengemas rumah, mereka perlu sentiasa berhati-hati.

“Saya difahamkan kejadian berlaku akibat hujan lebat pada awal pagi di kawasan hulu (kawasan gunung Nuang) mengakibatkan fenomena kepala air.

“Penduduk sekitar harus sentiasa berwaspada kerana walaupun air sungai sudah kembali surut, ia masih agak deras dan keruh,” katanya yang turut berterima kasih kepada agensi penyelamat yang sentiasa komited membantu mangsa. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN