KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan pengecualian pembayaran bil air di semua kawasan terjejas banjir di negeri ini untuk tempoh tiga bulan.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pengecualian itu bermula mulai Januari hingga Mac ini.
Katanya, pengecualian itu membabitkan anggaran lebih 40,000 kediaman dengan anggaran peruntukan berjumlah RM1.5 juta.
“Sebelum ini kerajaan negeri telah mengumumkan bantuan kepada mangsa banjir termasuklah Bantuan Wang Ihsan dan pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan kepada penyewa Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) yang terjejas banjir.
“Kali ini kita setuju untuk memberi pengecualian bil air tiga bulan kepada penduduk di kawasan terjejas banjir,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap pengecualian itu dapat meringankan beban mangsa banjir terutamanya bagi membersihkan premis masing-masing yang terjejas akibat bencana alam itu. – HELMY ABD RAHMAN