KUANTAN: Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang kira-kira RM100,000 kepada mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sumbangan itu tanda keprihatinan MUIP kepada mereka yang ditimpa bencana alam di dua negeri jiran itu.
Menurutnya, sumbangan itu disalurkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
“Menjadi tanggungjawab MUIP menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di dua negeri jiran itu,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, MUIP menyalurkan bantuan kira-kira RM1 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang untuk diagihkan kepada mangsa banjir, tahun lalu. – MOHD IMRAN IZZAD