TEMERLOH: Rasa sedih sebahagian mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Cermin di sini, sedikit terubat apabila mereka menerima kunjungan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda Tuanku turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin; Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin dan pegawai kanan daerah.
Al-Sultan Abdullah sempat menyantuni 388 mangsa daripada 142 keluarga yang datang dari Kampung Mambang Berulang, Kampung Sungai Dingin, Kampung Chatin dan Kampung Serdang serta beberapa kampung sekitar kawasan kejadian selepas kediaman mereka dinaiki air sejak 19 Disember lalu.
Mangsa, Ruziah Mat Zain, 68, dari Kampung Sungai Dingin di sini, berkata dia amat berbesar hati apabila baginda bertanya khabar kepadanya.
“Terima kasih Tuanku yang prihatin dengan masyarakat yang terkesan dengan banjir, malah saya berasa terharu apabila Tuanku menitahkan saya untuk bertemu doktor kerana sakit kaki.
“Baginda juga mengurniakan sumbangan yang akan saya gunakan untuk membaiki rumah yang rosak teruk disebabkan banjir,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Menceritakan detik kejadian banjir baru-baru ini, dia berkata, air naik dengan cepat sehingga mencapai paras bumbung.
“Seluruh rumah saya tenggelam dan tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk tanaman serta ternakan. Tambah merisaukan, saya tinggal bersama anak yang juga OKU (orang kurang upaya), mujur kami diselamatkan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Siti Aminah Ali, 75, berkata dia berharap pihak kerajaan dapat menyediakan penempatan baharu untuk didiami mangsa banjir.
“Tiap kali banjir, penduduk yang terkesan terpaksa keluarkan belanja peralatan rumah yang baharu, oleh itu mohon pihak kerajaan menyediakan penempatan baharu buat kami,” katanya anak jati Kampung Mambang Berulang itu. – MUHAMMAD NAJMIE DAN HUSIN IBRAHIM