Mangsa banjir ucap terima kasih pada Tok Wan

Mangsa banjir ucap terima kasih pada Tok Wan

BENTONG: Sekurang-kurangnya 160 Ketua Isi Rumah (KIR) iaitu mangsa banjir kilat di Janda Baik, di sini berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Pahang, khususnya YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kerana menghulurkan sumbangan kepada mereka.

Sumbangan daripada Kerajaan Pahang menerusi Yayasan Pahang itu diharap meringankan beban yang ditanggung semua mangsa berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata walaupun masih bersedih dengan kejadian yang menimpa mereka, ia sekurang-kurangnya dapat menceriakan mangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi menyerahkan bantuan mangsa banjir kilat di Kampung Janda baik

Katanya, Yayasan Pahang menghulurkan sumbangan sebanyak RM500 manakala dua surau dan tiga tahfiz yang terbabit dengan banjir kilat itu, masing-masing menerima RM5,000.

“Banjir yang berlaku semalam selama hampir empat jam, telah mengejutkan penduduk setempat dan mendapat perhatian serius YAB Dato Sri Wan Rosdy.

“Saya bersama Ketua Penerangan UMNO Bentong, Ketua Pemuda UMNO Bentong bersama Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) dan Yayasan Pahang telah meneliti ke beberapa lokasi berkenaan.

“Keadaan yang amat menyedihkan dan sukar untuk diatasi semudah itu dan kos RM100,000 diperuntukan sebagai bantuan,” katanya kepada Fikrah Pahang di sini, hari ini.

Penyampaian sumbangan itu juga turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Pahang, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi; Pengarah Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Zulkefli Yaakob; Pegawai Daerah Bentong, Ahmad khuzaidi serta Ketua Penerangan dan Pemuda UMNO Bentong.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, banjir kilat itu berpunca daripada hujan lebat yang di luar jangka dan keupayaan saliran sungai yang sedia ada.

“Bagi menjaga kebajikan mangsa, atas keprihatinan Menteri Besar, sarapan pagi serta makan tengahari dan malam disediakan hari ini dan semalam.

“Semoga dengan sedikit bantuan ini mampu meringankan beban penduduk berkenaan dan Allah angkat segala keresahan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN