Mangsa ribut Kampung Bapong dapat bantuan

Mangsa ribut Kampung Bapong dapat bantuan

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

LIPIS: Kejadian ribut di Kampung Bapong, di sini, pada 5 Ogos lalu, yang menyebabkan sembilan rumah penduduk rosak mendapat perhatian Kerajaan Pahang.

Justeru, bagi meringankan beban yang dihadapi sembilan ketua isi rumah (KIR), Kerajaan Pahang memperuntukkan sumbangan ihsan berjumlah RM38,000.

Sumbangan ihsan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Dato’ Mustapa Long di Pusat Khidmat ADUN Padang Tengku, kelmarin. Hadir sama, Penghulu Mukim Telang, Hafiz Azmi.

Menurut Mustapa, beliau berterima kasih kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di atas keprihatinan kerajaan menghulur bantuan yang diharap meringankan beban keluarga terbabit.

“Daripada RM38,000 itu, penerima sumbangan ihsan ini menerima antara RM2,000 hingga RM8,000 bergantung kepada kerosakan. Saya harap percaya sumbangan ini dapat membantu menghilangkan sedikit duka keluarga berkenaan,” katanya.