KUANTAN: Polis sudah menerima laporan kes buli membabitkan tiga sekolah di Pahang, termasuk sekolah berasrama di Muadzam Shah, Rompin.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Dato’ Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan kini giat dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Semua pelajar terbabit sudah dikenal pasti dengan bantuan pihak sekolah. Berdasarkan soal siasat mendapati mangsa menyembunyikan kejadian dan hanya membuat laporan polis apabila balik bercuti dan disedari keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Mohd Yusri berkata, tiga laporan kes buli itu diterima membabitkan pelajar di asrama sekolah di Muadzam Shah, Rompin, Maran dan juga satu sekolah berasrama di Lipis.
“Polis akan bekerjasama dengan pentadbiran sekolah bagi membantu mereka membendung masalah buli dan pergaduhan ini daripada terus menjadi budaya yang tidak sihat.
“Semua Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) PDRM di Pahang juga sudah diarahkan untuk memberikan perhatian terhadap isu ini,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD