HULU SELANGOR: Mangsa terakhir kejadian tanah runtuh iaitu mayat kanak-kanak lelaki ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali, di sini, hari ini.
Penemuan itu menjadikan keseluruhan 31 mayat ditemui sejak tragedi tanah runtuh itu, pada awal pagi, 16 Disember lalu.
Difahamkan, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Operasi SAR pada hari kesembilan dengan kekuatan 80 pegawai dan anggota pelbagai agensi serta bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), bermula pada 7.30 pagi, 24 Disember.
Pencarian mangsa terakhir ditumpukan di Sektor A (Hill View).
92 mangsa terdiri daripada 78 pengunjung dan 14 pekerja terbabit dalam insiden tanah runtuh itu. – HARIAN METRO