MAQIS rampas hampir 50 tan metrik pasir kucing dipercayai dari China

MAQIS rampas hampir 50 tan metrik pasir kucing dipercayai dari China

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar Muhammad Izz Zahin

KUANTAN: Sebanyak 49.98 tan metrik pasir kucing yang cuba dibawa masuk tanpa permit import sah, dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Pelabuhan Kuantan, di sini, semalam.

MAQIS dalam satu kenyataan media hari ini berkata, barang dagangan yang diisi dalam dua kontena itu dipercayai dari China dan dianggarkan bernilai hampir RM40,000.

Katanya, semua barang dagangan terbabit kini ditahan untuk tindakan lanjut selepas pengimport gagal mengemukakan permit import MAQIS ketika pemeriksaan rutin dijalankan.

Dua kontena yang mengandungi 49.98 tan pasir kucing yang dirampas di Pelabuhan Kuantan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh didenda mengikut Seksyen 11(3).

“Mengikut akta sama, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, MAQIS komited untuk melakukan tugasan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian, ikan dan haiwan yang masuk atau keluar dari negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.