Oleh Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com
TEMERLOH: Pembinaan Hospital Maran berharga RM200 juta dan Klinik Kesihatan Bukit Fraser, Raub, bernilai RM6.98 juta adalah antara peruntukkan yang diluluskan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata ini termasuk peruntukan RM4.7 juta disalurkan untuk pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Tekal yang dirasmikan, semalam.
Katanya, ini membuktikan kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap kesihatan penduduk dengan melaksanakan pelbagai kemudahan kesihatan untuk rakyat.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM) turut menerima peruntukan kedua terbesar berjumlah RM32.4 bilion dalam belanjawan 2022.
“Malah, dalam pembentangan #bajet2022 KKM turut menerima peruntukkan tambahan RM4 bilion yang disediakan khusus untuk meneruskan agenda menangani Covid-19,” katanya berucap di majlis perasmian Klinik Kesihatan Kuala Tekal.
Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Kawasan Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus.
Katanya, selain menyediakan prasarana dan fasiliti, kerajaan juga akan memastikan penyediaan sumber manusia yang mencukupi.
Dr Noor Azmi berkata, hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara maju, rakyat sihat dan produktif akan terlaksana selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia berlandaskan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.