Maran ke arah bandar selamat 

Maran ke arah bandar selamat 

MARAN: Majlis Daerah Maran (MDM) antara 24 Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT) di seluruh negara menerima peruntukkan RM317,000 bagi melaksanakan Program Bandar Selamat bagi tahun ini. 

Inisiatif  di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu adalah usaha kerajaan pusat untuk menurunkan indeks jenayah di kawasan bandar  

Timbalan Menteri KPKT merangkap ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Dr Ismail Muttalib berkata, pemilihan berdasarkan kepada beberapa kriteria yang ditetapkan termasuk indeks jenayah, kedudukan perbandaran dan daya laksana PBT. 

“Berdasarkan statistik Polis Di Raja Malaysia (PDRM), 149 kes direkodkan di Maran sepanjang 1 Januari sehingga 31 Disember 2021.

“Oleh itu, langkah pencegahan perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kadar jenayah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pasca Syawal Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO)  dan Meraikan Bakal Haji Parlimen Maran, di sini, semalam. 

Dr Ismail berkata, antara perancangan yang dilakukan bagi ke arah menjadikan daerah ini sebagai bandar selamat termasuk membina rel penghadang sepanjang 250 laluan laluan pejalan kaki, papan tanda keselamatan, cermin keselamatan  dan lampu limpah. 

“Peruntukkan itu membolehkan pihak majlis daerah melaksanakan aktiviti berkaitan pembangunan dan usaha lain dalam memastikan bandar Maran menjadi bandar yang selamat dan aman tenteram,” katanya. – FATH AHNAF.