Mari weh berehat di Kuala Tahan, Ulu Tembeling

Mari weh berehat di Kuala Tahan, Ulu Tembeling

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

JERANTUT:  Sektor pelancongan di Kuala Tahan dan Ulu Tembeling, di sini, yang terhenti sekian lama kembali aktif apabila Pahang memasuki fasa ke tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula semalam.

Pengusaha chalet, pemandu pelancong dan pengusaha bot kembali bersemangat untuk meneruskan aktiviti yang kaku hampir dua tahun.

Ketua Kampung Kuala Tahan, Abdul Jalil Abdul Rahman, 62, berkata berita baik apabila Pahang fasa baru memberi peluang kepada penduduk daerah ini untuk kembali mencari rezeki menerusi sektor pelancongan.

“Saya yakin dalam masa terdekat ini kehadiran pelancong ke Kuala Tahan akan bertambah terutama apabila Taman Negara dibuka. Saya menasihatkan kepada mereka yang terbabit dalam sektor pelancongan supaya sentiasa mematuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya.

Pemandu bot pelancong, Idris Dollah, 57, berkata pendapatannya terputus apabila pelancong tidak datang ke Kuala Tahan dan Ulu Tembeling.

Katanya, dia dan pengusaha bot pelancong lain di daerah ini terpaksa melakukan kerja lain seperti menoreh getah bagi menampung keluarga sepanjang PKP.

“Saya berharap ramai pelancong dapat datang ke Kuala Tahan dan Ulu Tembeling menikmati keindahan alam semulajadi sambil menyusuri sungai menggunakan bot,” katanya.