Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
BERA: Pengusaha sayur-sayuran kaedah fertigasi di Felda Kumai, di sini, menjemput orang ramai datang ke kebunnya untuk memetik dan mengambil timun sebelum pokoknya dilupuskan.
Mohd Azizol Warman, 37, berkata dia terpaksa memberi percuma kira-kira dua tan timun berikutan harganya ketika ini terlalu rendah.
“Datanglah ambil timun sebelum musnahkan kira-kira dua ribu pokoknya. Hasil memang banyak. Tak mungkin saya dapat meneruskan projek dengan harga jualan di peringkat ladang agak rendah.
“Saya lebih rela musnahkan pokok daripada terus menanggung kerugian yang kini mencecah RM20,000,” katanya.
Menurutnya, cabaran dalam sektor pertanian terutama sayur-sayuran ialah kejatuhan harga berikutan permintaan yang berkurangan.
Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan kerajaan ternyata memburukan lagi keadaan apabila banyak pasar borong dan premis menjual sayur-sayuran tidak dapat beroperasi dalam tempoh yang panjang.
“Dah dua kali harga timun jatuh sepanjang PKP 3.0 dan saya dah rugi lebih RM40,000. Tapi, apa yang berlaku adalah ujian berat terpaksa saya dihadapi.
“Tanaman timun menggunakan kaedah fertigasi memerlukan modal yang agak besar terutama membabitkan penggunaan baja dan racun serangga. Oleh itu, apabila harga pasaran rendah bermakna pekebun menanggung kerugian.
“Hampir semua jenis sayur berdepan cabaran kejatuhan harga namun tidak seteruk berlaku ke atas timun.
“Saya hanya mampu berdoa supaya harga timun naik dalam masa terdekat ini kerana dua lagi kebun di Felda Sebertak dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tebing Tinggi akan mengeluarkan hasil tidak lama lagi.
“Ada enam ribu pokok timun di dua kebun berkenaan. Saya kini hanya bergantung pada hasil jualan petola, peria dan terung dengan harga pasaran antara RM3 hingga RM4.50 satu kilogram,” katanya di sini semalam.