Martabatkan pendidikan Islam di Pahang- Wan Rosdy

Kuantan 1 Mac 2024 (FIKRAH PAHANG )- YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Waqaf dan Hal Ehwal Islam Maghribi, Ahmad Al-Tawfiq yang menjurus kepada perkongsian kepakaran dalam konteks kajian literasi Al-Quran dan ilmu Turath Islam .

“Lawatan kerja ini bertujuan bagi membincangkan hubungan kerjasama dua hala yang sudah terjalin antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Negara Maghribi sejak tahun 80an lagi, terutama menerusi tajaan Yayasan Pahang dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerima cenderahati dari Menteri Waqaf dan Hal Ehwal Islam Maghribi, Ahmad Al-Tawfiq

Menurutnya lagi, beberapa perkara yang dibincangkan antaranya jumlah kuota khas untuk pelajar anak Pahang yang akan melanjutkan pengajian ke Maghribi, mendapatkan guru pakar dalam bidang ilmu Turath Islam melalui kerjasama perkongsian pintar dengan universiti-universiti di Maghribi yang akan ditempatkan di Maahad Tahfiz milik Yayasan Pahang dan penubuhan pusat persediaan untuk menyambung pengajian ke Maghribi di Pahang.

“Semoga hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu lebih ramai anak-anak Pahang meneruskan pengajian ke luar negara akan terlaksana menerusi kerjasama strategik yang diwujudkan bersama dengan negara-negara yang berkaitan” katanya.

Katanya lagi, perbincangan turut di adakan bagi mendapatkan cadangan dan pengesyoran daripada pihak Kementerian Waqaf Dan Hal Ehwal Islam Maghribi bagi mengundang tokoh-tokoh ilmuwan Islam sebagai tetamu di program multaqa Persidangan Antarabangsa Mengenai Pendidikan Kontemporari dalam Dunia Islam yang akan di adakan Mei 2024 anjuran Kerajaan Pahang yang akan di adakan pada Mei 2024.

Turut sama dalam lawatan itu, EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan , Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan EXCO Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga, Dato’ Sabariah binti Saidan.

Oleh : Kabhi Ismail