KUANTAN: Kadar mas kahwin di Negeri Pahang ditetapkan kepada RM100 berbanding RM22.50 yang diamalkan, titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
“Kadar baharu ini lebih munasabah dan sesuai dengan kadar ekonomi semasa. Namun penentuan kadar maksimum tertakluk kepada kemampuan dan persetujuan kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Kerajaan pun dah lulus,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Nuzul Quran, Bacaan Yassin dan Tahlil Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah serta Merasmikan Masjid Alor Akar di Masjid Baharu Alor Akar.
Mengiringi keberangkatan baginda, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan Exco Kerajaan Pahang, pemimpin setempat dan ketua-ketua jabatan.
Oleh :Kabhi Ismail