Masalah air di Bukit Kuin selesai April 2023

Masalah air di Bukit Kuin selesai April 2023

KUANTAN: Komitmen Kerajaan Pahang menyelesaikan masalah air direalisasikan di Bukit Kuin yang menjadi lokasi pertama pelaksanaan 70 projek naik taraf sistem bekalan air di seluruh negeri ini. 

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata projek di Bukit Kuin itu membabitkan kos perbelanjaan sebanyak RM5.7 juta dan dijangka siap April tahun depan.

Katanya, peruntukan untuk projek berkenaan disediakan Kementerian Kewangan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

“Selepas ini ada banyak lagi sebenarnya, semua tempat yang ada masalah air kita telah pergi, dekati dan sudah mendapat laporan serta telahpun memohon peruntukan.

“Kita datang hari ini bukan saja-saja (tidak serius), tapi nak bagitahu (beritahu) kita dah ada RM5.7 juta untuk siapkan projek naik taraf bekalan air yang akan siap April 2023 untuk penduduk Bukit Kuin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air di Bukit Kuin, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Saiful Zaini Mohd Bokhari.

Sebelum ini, Wan Rosdy mengumumkan sebanyak 70 projek menaik taraf sistem bekalan air dengan kos keseluruhan hampir RM185 juta akan dilaksanakan di kawasan terdapat masalah air di seluruh negeri ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu bekalan air di Pahang adalah satu isu kompleks yang menuntut perancangan rapi dan menagih peruntukan cukup besar selain memerlukan tempoh masa panjang untuk diselesaikan.

“Kita akan hadapi masalah ini dan kita akan selesaikan… cuma, saya minta kefahaman rakyat untuk memahami sebab perkara ini tidak boleh disiapkan dengan cepat

“Sungguhpun begitu, isu ini adalah tumpuan utama saya untuk diselesaikan secepatnya bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN