Masalah kewangan aduan paling tinggi diterima JKM Pahang

Masalah kewangan aduan paling tinggi diterima JKM Pahang

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menerima lebih 11,905 pelbagai aduan pengguna yang terkesan berikutan PKP 3.0 sepanjang Jun hingga Ogos, tahun ini.

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata pihaknya membuka 12 bilik gerakan di setiap daerah termasuk Ibu Pejabat JKM Pahang, bagi membantu kumpulan yang menerima kesan PKP. 

Menurutnya, Bilik Gerakan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Lipis menerima 2,035 diikuti PKMD Raub (1,176), PKMD Pekan (1,476), PKMD Bera (1,474), PKMD Maran (1,093), PKMD Bentong (698) dan PKMD Temerloh (637).

Katanya, Bilik Gerakan JKM Pahang dan PKMD Kuantan masing-masing menerima 986 dan 

552 aduan manakala PDKM Rompin mencatat jumlah aduan terendah iaitu 381.

“Aduan tertinggi diterima pada Julai iaitu 4,994; Ogos (4,426) manakala Jun (2,485). Jumlah aduan dijangka terus meningkat hingga akhir tahun. Aduan paling banyak membabitkan bantuan bakul makanan dan masalah kewangan. 

“Kita sentiasa prihatin dan bersedia membantu memberi bantuan kewangan dan keperluan asas, termasuk menerusi kerjasama dengan Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (Makpen) untuk kelancaran agihan,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya  berusaha sedaya upaya membantu individu terbabit untuk terus menjalani kehidupan, produktif dan mencapai kesejahteraan psikologi yang optimum.

“Tidak dinafikan sepanjang PKP dilaksanakan ramai yang menghadapi tekanan hingga sanggup melakukan tindakan yang tidak normal,” katanya.