Masalah parkir di Bandar raya Kuantan salah siapa sebenarnya?

Masalah parkir di Bandar raya Kuantan salah siapa sebenarnya?

Sekilas Pandang

SEJAK akhir-akhir ini ramai yang merungut mengenai masalah parkir di tengah bandar raya Kuantan terutama di kawasan tumpuan antaranya di UTC, Taman Kerang dan Center Point pada hujung minggu.

Sebilangan pengunjung melahirkan rasa tidak puas hati berikutan kepayahan mencari parkir di kawasan terbabit.

Dakwa mereka, kesulitan ini disebabkan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yakni Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) membenarkan aktiviti perniagaan dijalankan di tempat parkir.

“Semua permit niaga dia (MBK) bagi atas tapak parking, pengunjung letak kereta merata dia hantar tentera saman. Isu kekurangan tempat letak kenderaan khususnya di kawasan tengah bandar sering diutarakan rakyat namun belum menemui titik noktah.

“Pemilihan tempat parkir bagi penganjuran aktiviti perniagaan seperti pasar malam juga menjadi antara penyumbang kepada permasalahan ini.

“Bayangkan, di manakah pengunjung boleh meletakkan kenderaan mereka sekiranya hak itu telah diberi kepada peniaga. Lebih memburukkan keadaan, pihak berkuasa yang ‘ringan tulang’ menyaman pemilik kenderaan tanpa belas kasihan,” rungut segelintir pengunjung yang sering diluahkan di laman sosial.

Namun, adakah rungutan ini mempunyai asas dan wajarkah PBT dipersalahkan? Atau pengunjung terbabit yang tak mahu bertolak ansur dan mementingkan diri sendiri.

Perlu diingat, tujuan asal kelulusan diberikan kepada peniaga adalah untuk membantu golongan terutama yang berpendapatan rendah (B40) bagi meningkatkan ekonomi mereka.

MBK sebagai pihak berkuasa sentiasa membantu dan memberi peluang luas kepada penjaja berniaga di mana sahaja asalkan selamat dari segi lalul intas dan peniaga penjaja mengawal syarat ketat aspek kebersihan yang mesti dipatuhi.

Isu yang dibangkitkan mengenai kompaun kesalahan meletak kereta, kesalahan menghalang kenderaan lain, menimbulkan kesalahan kacau ganggu bila buat ‘double parking’ (parkir berganda), kesalahan parkir atas garisan kuning dan kesalahan parkir kereta dalam petak motosikal.

Kompaun ini hanya dikenakan atas tingkah laku buruk segelintir pemandu kereta yang melakukan kesalahan undang-undang.

Seandainya PBT buat tak tahu, pastinya lalu-lintas dalam kawasan bandar raya ini tersekat dan kesannya nanti, lebih ramai yang merungut kerana PBT tidak menjalankan tanggungjawab dengan melaksanakan tindakan penguat kuasaan terhadap pemandu degil yang ingkar undang-undang.

Pemandu perlu faham, aktiviti perniagaan di Taman Kerang contohnya, dilakukan pada waktu malam, makanala pasar tani berhampiran UTC sudah berpuluh tahun diadakan dan setakat ini tiadapun masalah kepada pengunjung yang patuh undang-undang. Malah pengunjung sentiasa ramai.

Banyak saja kawasan parkir disediakan antaranya di kawasan Stadium Darul Makmur yang letaknya tidak sampai 100 meter dari pasar tani berkenaan.

Ironinya, lain pula perangai masing-masing bila berada di luar kawasan. Rakan saya contohnya, yang sering ke Kuala Lumpur, sanggup bayar parkir sampai RM5 sejam.

Ramai saja sebenarnya warga Kuantan yang sangat tinggi nilai siviknya dan sentiasa mematuhi undang-undang, sentiasa tenang serta bebas daripada dikompaun kerana mereka faham dan tidak mementingkan diri sendiri.

Perlu diingat, penguat kuasaan berhubung kesalahan meletak kenderaan, dilaksanakan di seluruh negara, bukan hanya di Kuantan.

Bagaimanapun, pihak PBT juga seharusnya melihat permasalahan ini dari pelbagai sudut. Mungkin dengan mengalihkan aktiviti perniagaan ke kawasan pinggir bandar raya, akan dapat memudahkan semua pihak.

Lokasi di Serambi Teruntum misalnya, amat sesuai dijalankan aktiviti perniagaan seperti pasar malam, pasar tani dan pasar karat. Jaraknya juga tidak jauh daripada bandar raya Kuantan dan kawasannya juga luas.

Langkah ini bagi saya amat bersesuaian dan bijak. Matlamat menaikkan ekonomi golongan B40 terlaksana dan pada masa sama, kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan. – KabhiISMAIL