Masjid Al Huda di FELDA Pancing Utara dapat van jenazah baharu

Masjid Al Huda di FELDA Pancing Utara dapat van jenazah baharu

KUANTAN: Badan khairat kematian FELDA Sungai Pancing Utara menerima van jenazah baharu sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), hari ini. 

Van itu bagi menggantikan kenderaan jenazah lama yang sudah digunakan lebih 20 tahun dan didaftarkan atas nama perseorangan.

“Alhamdulilah dan terima kasih MUIP yang memenuhi hasrat kami memiliki kenderaan jenazah baharu,” kata Pengerusinya, Jamaluddin Harun.

Menurutnya, penduduk amat memerlukan kenderaan jenazah baharu kerana van lama sering kali rosak.

Kenderaan itu diserahkan oleh wakil MUIP,  Zabidi Shaari dalam satu majlis di perkarangan Masjid Al Huda FELDA Sungai Pancing Utara. 

Sementara itu, Zabidi mahu generasi muda tidak menunggu hari tua untuk menjadi ahli badan khairat kematian kerana ajal sesaorang tidak mengenal usia.

“Adalah diharapkan orang muda tidak terlepas pandang untuk segera menjadi ahli badan khairat kematian di kawasan masing masing. Ia akan memudahkan urusan jika berlaku kematian,” katanya. – YOP AJI