Masjid gagal pamer kod QR dikompaun RM10,000

Masjid gagal pamer kod QR dikompaun RM10,000

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Masjid Sri Maulana, Taman Sri Maulana, Pekan, dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 semalam kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

  Berdasarkan notis yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, masjid berkenaan gagal menyediakan kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan seperti ditetapkan.

  Susulan itu tindakan kompaun dikeluarkan pada 11 pagi semalam terhadap Pengerusi Jawatankuasa Masjid atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

  Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan pemantauan berterusan di semua masjid dan surau negeri ini. 

  “Kita telah meminta pasukan penguat kuasa JAIP memastikan kod QR dapat dipamerkan dan diguna setiap individu yang datang ke masjid.  

  “Mungkin ada berlaku kekhilafan oleh ahli jemaah serta pihak pengurusan masjid itu, ia di luar jangkaan kita,” katanya dihubungi, hari ini.