SINGAPURA: Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan dan masjid di beberapa daerah di Pahang akan menjadi perintis bagi proses transformasi untuk dijadikan pusat sehenti yang menyediakan pelbagai kemudahan bersifat ilmiah dan interaktif.
Bercakap kepada Fikrah Pahang hari ini, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkifle Ali, berkata ia susulan daripada titah KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah yang mahu sekurang-kurangnya satu masjid di setiap daerah dijadikan pusat sehenti.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kerajaan negeri amat berminat untuk mencontohi masjid-masjid di SIngapura yang mempunyai keupayaan menjadi pusat sehenti yang menarik minat ramai berkunjung ke rumah ibadat itu.
“Masjid di sini aktif dari segi keagamaan dan kemasyarakatan, contohnya pagi tadi rombongan kerajaan negeri diketuai YAB Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkunjung ke Masjid Wak Tanjong yang berupaya mengadakan kelas pengajian al-Quran secara ‘on-line’.
“Begitu juga Masjid Ba’alwie yang menjadi ‘one-stop center’ (pusat sehenti) dengan perpustakaan dan muziumnya, manakala esok rombongan dijadualkan berkunjung ke Masjid Sultan dan Masjid Al-Amin pula,” katanya.
Menurutnya, untuk itu, YAB Menteri Besar mengarahkannya untuk meneliti kaedah bagaimana masjid di Pahang dapat merealisasikan hasrat menjadi pusat sehenti yang berupaya menarik kunjungan ramai termasuk orang bukan Islam.
“Dalam masa terdekat ini, kerajaan negeri akan menghantar imam dan pegawai masjid ke sini, mungkin untuk berkursus atau menghadiri seminar bagamana dapat menjayakan hasrat itu,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN