Masjid pertama guna nama Al-Sultan Abdullah

Masjid pertama guna nama Al-Sultan Abdullah

MARAN: “Syukur, lapang dada saya kerana inilah masjid yang pertama di bawah nama Al-Sultan Abdullah,” titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah demikian pada titah diraja sebelum memasyhurkan perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah yang terletak di Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini, hari ini, turut dimasyhurkan sebagai Masjid Daerah Maran yang baharu.

“Bukan di Pekan, tetapi di Jengka. Jauh sikit tapi ini bermakna Jengka tetap dekat di hati saya,” titahnya.

Turut mengiringi, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan EXCO Kerajaan Pahang.

Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menjadi mercu tanda baharu di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, dibina di tapak berkeluasan 10 ekar (4.04 hektar).

Projek pembinaan masjid bernilai RM9.5 juta itu, bermula pada 12 Oktober 2015 dan siap sepenuhnya pada Januari 2018.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan mana-mana masjid di negeri ini sebagai tempat untuk berpolitik.  

“Jangan sekali-kali menjadikan masjid tempat mencerca sesama umat… bertelingkah dan apatah lagi menjadi gelanggang politik.

“Dalam hal ini saya memang tidak membenarkan mana-mana pihak yang mempolitikkan rumah Allah ini, jadikan ini sebagai ingatan buat kita semua dan saya harap tidak ada yang mempertikaikan arahan ini,” tegas baginda.

Baginda juga menasihatkan pegawai masjid supaya menjadi ahli badan koperasi pegawai masjid bagi meningkatkan pendapatan masing-masing.

“Sehubungan ini saya menasihatkan supaya semua pegawai masjid di Pahang untuk menjadi ahli badan koperasi pegawai masjid di Pahang.

“Mudah-mudahan ini dapat meningkatkan imbuhan mereka tahun demi tahun,” titahnya. – HELMY ABD RAHMAN