Masjid rai pelajar SPM cemerlang

Masjid rai pelajar SPM cemerlang

KUANTAN: Masjid Ittifaqiah Taman Sri  Inderapura (MITSI), di sini, menghargai pencapaian lapan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dengan memberi hadiah wang tunai.

Pengerusi MITSI, Ideris Abu Bakar, berkata setiap tahun pihaknya menyediakan hadiah kepada pelajar yang menetap di Taman Sri Inderapura yang mendapat keputusan 7A ke atas dalam peperiksaan itu.

“Pihak masjid menyampaikan sijil penghargaan dan menghadiahkan RM150 setiap pelajar terbabit. Mereka turut menerima hadiah wang tunai RM100 daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Inderapura.

“Selain menghargai kejayaan yang dicapai, pemberian hadiah berkenaan diharap menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain untuk berusaha lebih gigih memburu kejayaan dalam pelajaran,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pihak masjid turut menganjurkan solat hajat sebelum peperiksaan bermula bagi memohon kemudahan pelajar menjawab soalan.

“Usaha dilakukan ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat dengan pengurusan masjid. Kami juga mengadakan pelbagai program antaranya jamuan raya, ibadah korban dan sukan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD