Masjid, surau di Maran terima bantuan

Masjid, surau di Maran terima bantuan

MARAN: Enam masjid dan tiga surau di Maran yang terjejas banjir pada Disember lalu, menerima sumbangan daripada Kerajaan Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sumbangan itu membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM37,300.

“Tiada siapa suka dan selesa dengan ujian musibah banjir. Namun, Allah SWT tunjukkan di sebalik peristiwa itu lahir keakraban dan saling bantu.

“Sama ada badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan individu turun bersama berganding bahu saling membantu.

“Demikian juga Kerajaan Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, turun padang membantu sehingga hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada majlis penyerahan sumbangan di Masjid Sultan Abu Bakar Pesagi, Maran itu, Masjid Kampung Bukit Lada Chenor menerima RM2,000, diikuti Masjid Kampung Nyak (RM6,300),  Masjid Kampung Sekara (RM5,000).

Selain itu, Masjid Baru Chenor Seberang pula menerima RM2,000, Masjid Lama Kampung Pantai (RM8,000) dan Masjid Sultan Abu Bakar Pesagi (RM5,000).

Tiga surau yang turut menerima sumbangan adalah Surau Kampung Sertang, Surau Kampung Tebing Tembah dan Surau Kampung Teluk, masing-masing menerima RM3,000.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN