KUANTAN: Lebih 200 jemaah Masjid Tepian Putra, di sini, dijamu dengan 400 biji durian kampung sempena Program Makan Durian Bersama Duta Masjid, di sini semalam.
Program yang berlangsung kira-kira sejam bermula 5 petang itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin dan Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar.
Hamdan yang juga Pengerusi Masjid Tepian Putra, berkata ini kali kedua dalam masa sebulan pihaknya menganjurkan program makan durian beramai-ramai secara percuma.
“Kita menyediakan 278 kilogram (kg) durian kampung yang dibeli terus daripada pekebun di Kampung Ulu Dong, Raub dan jemaah diberi peluang makan durian yang disediakan oleh jawatankuasa program.
“Rata-rata mereka yang hadir begitu seronok menikmati raja buah itu,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD