RAUB: Kerajaan Pahang hari ini melunaskan janji untuk memberi bantuan banjir kepada masjid dan surau di Raub serta Lipis yang terjejas dalam kejadian banjir akhir tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM100,000 untuk disumbangkan kepada lapan masjid dan surau terbabit.
“Hari ini mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail untuk menyampaikan sumbangan kepada masjid yang terkesan banjir bagi daerah Raub dan Lipis.
“Terdapat dua masjid terkesan dek banjir di Raub iaitu Masjid Kampung Chenua dan Masjid Kampung Lechar yang mana kerajaan negeri menyumbangkan sebanyak RM33,000 bagi meringankan beban pengurusan masjid.
“Di Lipis pula terdapat lima masjid dan satu surau yang terjejas akibat banjir iaitu Masjid Jamek Budu, Masjid Kampung Salang, Masjid Kampung Binjai, Masjid Kampung Tanjung Bungor, Masjid RPSB Batu 9 dan Surau Kampung Pasu Kerambit. Sumbangan untuk semuanya berjumlah RM 67,200,” katanya selepas majlis penyerahan di Masjid Kampung Lechar di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram danĀ Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkefli Ali. – HELMY ABD RAHMAN