Kuantan 10 Mei 2023. (Fikrah Pahang)- Masyarakat Orang Asli di Pahang sentiasa diberi perhatian dalam meningkatkan pembangunan dan ianya terbukti dengan pelbagai inisiatif apabila Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang telah memperuntukan sebanyak RM6 juta tujuan tersebut.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, peruntukan RM 6 juta tersebut bagi mempertingkatkan pelbagai keperluan masyarakat Orang Asli sama ada pembinaan atau naik taraf jalan, pembekalan air dan api dari satu kampung ke kampung, dewan dan pelbagai kemudahan asas.
Katanya lagi, “untuk memisahkan Orang Asli dengan hutan secara mutlak adalah sukar kerana kehidupan mereka sangat akrab dengan hutan bagai cincin dengan jari, gelang dengan lengan dan rantai dengan leher bahkan aur dengan tebing”.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Tras (PH), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 hari ini.
Jelasnya lagi, ramai tokoh negara dan negeri terdiri dari masyarakat Orang Asli seperti Timbalan Speaker Dewan Parlimen, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), Pengarah JKOA Pahang dan ramai lagi.
“Inisiatif JAKOA Negeri Pahang melalui Seksyen Pembangunan Modal Insan Dan Kebajikan (PMK) sentiasa cakna dan memberi komitmen yang tinggi bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat orang Asli melalui penganjuran temuduga pekerjaan dengan kerjasama agensi sektor awam dan swasta termasuk adakan latihan berbentuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)”.
.
“Namun demikian kita meliliki jumlah kampung yang besar dan ketua isi keluarga yang ramai maka usaha mustahil dapat dilaksana serentak. Kita memiliki 262 kampung dan 25051 ketua isi keluarga. Namun usaha berterusan dan komitmen yang tinggi dari semua pihak tetap dipertingkatkan”. katanya.
Oleh Kabhi Ismail