Mat Kilau muncul di GSC ECM Kuantan

Mat Kilau muncul di GSC ECM Kuantan

KUANTAN: Laungan Allahuakbar dilontarkan ‘Mat Kilau’ bergema di pawagam GSC East Coast Mall (ECM) di sini, selepas tamat tayangan filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan sempena Malam Patriotik Pahang, malam tadi.

Laungan takbir itu kemudian disambut penonton yang rata-ratanya kelihatan bersemangat selepas menyaksikan filem ‘box-office’ itu.

Penonton nyata teruja sebaik pelakon utama filem berkenaan, Datuk Adi Putra yang menggalas watak Mat Kilau muncul bersama dua lagi pelakon pembantu, Ali Karimie (Brahim) dan Ahmad Hilmee (Thong) bergerak ke layar tayangan sambil mengungkapkan baris ayat dalam filem berkenaan.

Sementara itu, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan berjaya menyuntik semangat nasionalisme dan patriotisme dalam diri penonton terutama generasi muda.

“Medium seperti inilah yang kita harapkan untuk membangkitkan semangat anak muda kita dan saya harap syarikat Kembara Studio dan Syamsul Yusof dapat menghasilkan lagi filem seperti ini pada masa depan,” katanya ketika berucap selepas menyasikan filem berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang sudi membantu seandainya sekual filem berkenaan diterbitkan pada masa akan datang. 

“Semoga ada filem Mat Kilau 2 pada masa depan, mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi dan kerajaan negeri akan membantu menjayakannya, insya-Allah,” katanya.

Wan Rosdy turut mengucapkan tahniah kepada syarikat penerbitan Kembara Studio berikutan kutipan luar biasa filem berkenaan yang kini mencecah RM47 juta. – HELMY ABD RAHMAN