KUANTAN: Pesara warga emas tidak menyangka boleh memiliki Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang selesa bagi menggantikan kediamannya yang uzur.
Oleh itu, Mat Mingan Saparun, 73, dan isterinya, Sabariah Muyono, 63, amat berterima kasih di atas hadiah bernilai RM65,000 daripada Kerajaan Pahang itu yang mereka anggap bagaikan mimpi.
Mat Mingab berkata, dia bersyukur apabila YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, meluluskan permohonannya untuk memiliki kediaman RRP.
“Saya memohon RRP kerana rumah sedia ada begitu uzur. Oleh itu, saya sungguh gembira apabila diberitahu permohonan saya diluluskan,” katanya pada majlis penyerahan kunci RRP di Bukit Setongkol, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Menteri Besar yang lebih mesra dengan panggilan Tok Wan menyampaikan kunci rumah RRP bersama-sama barangan elektrik bernilai RM2,000 kepada Mat Mingan dan isterinya.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN