KUANTAN: Parlimen Indera Mahkota berpotensi menjadi lebih maju dan canggih daripada Johor Bahru, asalkan ia ditadbir individu yang tepat dan berwibawa.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Quek Tai Seong, berkata ia berdasarkan pelbagai projek mega yang sedang dan akan dibangunkan di kawasan itu, antaranya lapangan terbang antarabangsa, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), ‘sky train’ selain Pelabuhan Kuantan.
“Saya tidak kata saya orang berwibawa tetapi yakin mampu melakukan lebih baik berbanding calon daripada PH (Pakatan Haraan) dan PN (Perikatan Nasional).
“Dengan pengalaman yang saya ada di Kementerian Pengangkutan saya yakin dapat melaksanakan yang terbaik untuk Parlimen ini,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.
Menurutnya, Parlimen Indera Mahkota yang sudah tiga penggal diwakili pihak lawan, sukar untuk memenuhi potensinya seandainya masih lagi terus ditadbir pihak selain BN.
“Dah nak masuk 15 tahun tapi kita boleh tengok terlalu banyak isu ada di kawasan Indera Mahkota antaranya keadaan jalan raya yang teruk dan sering dinaiki air serta banjir di beberapa kawasan yang seperti tidak berkesuhdahan.
“Jika diberi peluang dan memenangi kerusi ini, saya nak selesaikan semua masalah air, contohnya di Kampung Kolam Ikan di Beserah yang mana penduduk kampung terpaksa mengharungi air untuk pulang ke rumah setiap kali hujan lebat.
“Untuk jangka panjang pula, saya nak pastikan kawasan ini ada rangkaian logistik yang jauh lebih bagus berbanding sekarang yang mana segala ini akan mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar,” katanya yang mesra disapa Mat Quek. – HELMY ABD RAHMAN