Mat Yahya terima zakat fitrah di tepi jalan Taman Seri Inderapura

Mat Yahya terima zakat fitrah di tepi jalan Taman Seri Inderapura

KUANTAN: “Saya lebih selesa jalankan tugas di sini berbanding duduk di masjid. Lagipun, bolehlah kita permudahkan orang ramai yang kebetulan menggunakan jalan ini,” kata Mat Yahya Aziz, 66, 

Mat Yahya adalah amil bertauliah yang kini kembali bertugas menerima zakat fitrah di tepi jalan utama di Taman Seri Inderapura, selepas dua tahun tidak melakukannya kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19.

Pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) itu berkata, pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) tidak menghalang pemilihan lokasi asalkan tidak mendatangkan bahaya kepada keselamatannya.

“Ramai yang lebih suka macam ini. Dapat bayar zakat secara santai berbanding ke masjid. Tidak kisahlah di mana pun, yang penting kita bayar zakat fitrah dan permudahkan mereka yang ingin membayarnya,” katanya.

Mat Yahya berkata, kelebihan menerima bayaran (zakat fitrah) di tepi jalan adalah dapat mengingatkan umat Islam agar segera menunaikan tanggungjawab. 

“Boleh kata macam dakwah secara tidak langsung,” katanya yang menjadi amil sejak 19 tahun lalu. – MOHD IMRAN IZZAD