KUANTAN: Enam pelatih istimewa Pusat Dalam Komuniti (PDK) Semurni Qasih, Bukit Rangin, dibantu guru menghasilkan biskut Mazola sebagai produk jualan Aidilfitri.
Mereka turut bertindak menyediakan semula enam produk lain termasuk tat beluncas, rempeyek dan kerepek pisang yang disediakan pembekal.
Penyelia PDK Semurni Qasih, Rosnani Embong berkata, pihaknya hanya mampu menerima tempahan 100 bekas biskut Mazola dalam dua minggu.
Menurutnya, sambutan yang diterima menggalakkan namun disebabkan faktor masa dan jumlah pelatih yang terhad menyebabkan tempahan tidak dapat diterima dengan banyak.
“Kita menjual kuih raya dengan harga antara RM8 hingga RM27 satu balang dan permintaan terdiri daripada keluarga pelatih.
“Biskut Mazola produk percubaan Ramadan kali ini. Sebelum ini, pelatih lebih menumpukan kepada menghasilkan roti setiap minggu,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD