BENTONG: Risau dengan nasib mangsa banjir di Kampung Chegar Medang dan Benus di sini, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini terpaksa meninggalkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, untuk bergegas ke kedua-dua lokasi.
Menerusi perkongsian di Facebook rasminya hari ini, Wan Rosdy berkata, beliau juga amat prihatin dengan nasib penduduk kampung terbabit yang terpaksa menempuh bencana banjir untuk kali kedua dalam tempoh tiga bulan.
“Saya bergegas ke Bentong di Kampung Chegar Medang dan Benus pagi ini bagi meninjau keadaan banjir di sana.
“Terpaksa tinggalkan sebentar Perhimpunan Agung UMNO di PWTC untuk bertemu sendiri sekali gus melawat mangsa-mangsa banjir terbabit.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tambahan pula, ini adalah kali kedua banjir melanda rumah mereka dalam tempoh tiga bulan.
“Saya amat berharap mereka bersabar dan tabah berdepan ujian ini. Kerajaan Pahang sentiasa berusaha sehabis baik bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Pahang sentiasa terpelihara terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.
“Ini termasuklah perancangan jangka panjang untuk mengatasi bencana banjir di kawasan-kawasan berisiko,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN