MB bikin warga emas titiskan air mata gembira

MB bikin warga emas titiskan air mata gembira

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: “Semoga Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) terus dimurahkan rezeki,” ujar Zaleha Mohamad, 70, dari Kampung Ubai, Penor, dekat sini.

KUANTAN 08 MAC 2021. Temubual penerima wang ihsan banjir 2021, Zaleha Mohamad, 70. FIKRAH PAHANG/MUZ

Warga emas itu nyata terharu apabila menerima bantuan wang tunai RM500 daripada Kerajaan Pahang selepas kediamannya dilanda banjir, Januari lalu.

“Memang bantuan ini amat membantu sebab saya cuma tinggal berdua dengan anak dan tidak bekerja, apatah lagi banyak duit terpaksa keluar selepas banjir dulu.

“Jasa MB (Menteri Besar) ini semoga Allah balas, harap dia terus dimurahkan rezeki,” katanya sambil menyapu air mata kegembiraan.

Bagi Rahmah Mat Idrus, 43, bantuan wang ihsan itu sememangnya amat diperlukan keluarganya selepas bukan sahaja kediaman dan kelengkapan rumah, malah haiwan ternakannya turut terjejas dek kerana banjir.

“Saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang amat prihatin terhadap nasib mangsa banjir di kampung ini,” katanya.

Lebih 1,000 ketua isi rumah (KIR) di Kampung Ubai, dekat sini, menerima sumbangan wang ihsan sebanyak RM500 setiap keluarga yang disampaikan Wan Rosdy, hari ini, selepas semua rumah di kampung itu dilanda banjir, Januari lalu. 

Secara keseluruhannya, kira-kira 19,000 KIR di seluruh negeri ini layak menerima wang ihsan sumbangan kerajaan Pahang membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta.