MB buat laporan polis talian telefon bimbit digodam, kumpulan Whatsapp keluarga ‘dirampas’ penggodam

MB buat laporan polis talian telefon bimbit digodam, kumpulan Whatsapp keluarga ‘dirampas’ penggodam

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail membuat laporan polis jam 3.45 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berhubung kejadian talian telefon bimbit beliau digodam.

Laporan itu menyebut, penggodam terbabit dipercayai menggodam dengan mengambil alih kumpulan Whatsapp keluarga beliau, menukar nama kumpulan dan kemudian keluar daripada kumpulan berkenaan.

Selain kumpulan keluarga, penggodam turut menggodam lapan kumpulan Whatsapp milik Menteri Besar Pahang ke-15 itu.

Penggodam turut didakwa menghubungi nombor telefon Menteri Besar Pahang itu menggunakan nombor dipercayai didaftarkan di Amerika Latin.

Difahamkan, Wan Rosdy mula menyedari nombor telefon beliau digodam kira-kira jam 6 pagi selepas dimaklumkan oleh Setiausaha Politik beliau, Dato’ Tajol Razi Abdul Aziz.

Perkara itu kemudian dihebahkan melalui satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Pahang, pagi ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa talian telefon bimbit saya dipercayai telah digodam sejak awal pagi ini.

“Sehubungan itu, satu laporan polis akan segera dibuat bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Wan Rosdy turut memohon maaf kepada semua pihak yang mungkin cuba menghubungi beliau melalui talian telefon bimbit yang digunakannya.