MB dah singgah beri bantuan di Taman Chegar Medang, semalam

MB dah singgah beri bantuan di Taman Chegar Medang, semalam

KUANTAN: YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sempat singgah untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk di Taman Chegar Medang di Bentong, semalam.

Ia sekali gus menangkis dakwaan dalam video laporan Malaysiakini kononnya beliau hanya lalu dan melambai kepada penduduk kawasan perumahan itu.

“Video itu satu laporan tidak benar dan berat sebelah,” kata Wan Rosdy berhubung video berkenaan.

Menerusi video itu, seorang penduduk Taman Chegar Medang di Bentong, mendakwa ternampak konvoi menteri besar di kawasan kediamannya tetapi hanya melambai.

“Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan misi bantuan banjir Kerajaan Negeri Pahang di media sosial maklum mengenai tindakan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri. 

“Video yang dibuat oleh Malaysiakini yang mengatakan saya hanya melambai dari dalam kereta adalah satu laporan yang tidak benar dan berat sebelah,” kata Wan Rosdy.

Selain Taman Chegar Medang, Wan Rosdy dan rombongannya sempat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia di Bentong untuk tujuan sama.

Untuk rekod, Kerajaan Pahang sebelum ini mengumumkan peruntukan sekurang-kurangnya RM7.5 juta sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan banjir tahun ini. 

Ia termasuk RM2.5 juta kos 199 tan bekalan barangan keperluan makanan yang akan dihantar berperingkat ke 140 pangkalan hadapan seluruh negeri. – HELMY ABD RAHMAN