Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata langkah itu mungkin perlu diambil kerana kes seumpama itu pernah berlaku sebelum ini.
Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
CAMERON HIGHLANDS: Kerajaan negeri bercadang untuk melakukan audit perumahan bagi Rumah Rakyat Pahang (RRP) di setiap daerah di negeri ini bagi mengelakkan pemilik daripada menyewakannya kepada orang lain.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata langkah itu mungkin perlu diambil kerana kes seumpama itu pernah berlaku sebelum ini.
“Masa saya jadi EXCO perumahan dulu, ada rumah SPNB (Syarikat Perumahan Negara Bhd) yang disewakan kepada orang lain… saya tak mahu perkara ini berlaku pada RRP supaya pemohon benar-benar mendiami dan menjaga rumah itu dengan baik serta kalau ada masalah, pihak berkenaan boleh mengambil tindakan sewajarnya.
“Unit perumahan (kerajaan negeri) mungkin boleh pergi sekali-sekala untuk buat audit siapa dalam rumah, adakah disewakan kepada orang lain. Benda (perkara) ini penting (dilaksanakan) sebelum berlarutan kerana nanti lagi banyak rumah… kalau setahun 100 unit, 10 tahun dah 1,000,” katanya.
Beliau yang turut ditemani isteri, Datin Sri Burhah Mohammed, berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Penyerahan Kunci RRP Daerah Cameron Highlands di Kampung Menson di sini, hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak tiga kunci rumah diserahkan kepada tiga pemilik yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Dato’ Abd Rahim Muda.
Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy mengumumkan dua lagi tambahan unit RRP tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 100 unit semuanya berbanding 98 mengikut cadangan asal.
“Baru-baru ini Dato’ Rahim jumpa dan bisik pada saya kata 100 unit semuanya dan tambahan dua unit itu untuk DUN (Dewan Undangan Negeri) Jelai,” katanya.
Pelaksanaan projek RRP dijangka siap sepenuhnya bulan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM6.37 juta.
Kos setiap unit rumah ialah sebanyak RM65,000 dan syarat utamanya, penerima memiliki tanah sendiri dan kurang berkemampuan sebelum kelulusan diberikan.