MB lawat EXCO Kerajaan Pahang lepas bubar DUN

MB lawat EXCO Kerajaan Pahang lepas bubar DUN

KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sempat meluangkan masa melawat EXCO Kerajaan Pahang di bilik masing-masing di Tingkat 7, Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Lawatan itu dilakukan sejurus selesai sidang media khas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang selesai, kira-kira jam 10.30 pagi.

Seramai 10 EXCO yang dibarisi Ahli DUN (ADUN) Barisan Nasional (BN) menjaga pelbagai portfolio pentadbiran Kerajaan Pahang yang diketuai Wan Rosdy sejak 2018.

Mereka terdiri daripada Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin yang menjadi EXCO Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang; Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan); Dato’ Sri Mohd Soffi Abd Razak (EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi); Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin (EXCO Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga); Dato’ Sri Norolazali Sulaiman (EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan).

Selain itu, Dato’ Sri Johari Hussain (EXCO Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan); Dato’ Abd Aziz Mat Kiram (EXCO Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli); Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (EXCO Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia); Dato’ Nazri bin Ngah (EXCO Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna) serta Dato’ Abd Rahim Muda (EXCO Kerajaan Tempatan dan Perumahan). 

Pahang menjadi negeri pertama membubarkan DUN selepas pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lalu. 

Pembubaran itu diumumkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang hari ini selepas mendapat perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Rabu lalu. – HELMY ABD RAHMAN