JERANTUT: Seorang rakyat Malaysia yang sedang koma di Hospital Besar Hyosung, Cheongju, Korea Selatan, Kamarulzaman Mohamed Fauzi@Jazuli, 50, mendapat perhatian Kerajaan Pahang.
Difahamkan, Kamarulzaman yang berasal dari Kampung Batu Balai, dekat sini, mula berkelana ke negara itu sejak Oktober 2019 untuk bekerja dan telah melakukan pelbagai pekerjaan sehinggalah yang terkini sebagai operator pengeluaran di kilang tisu.
Bagaimanapun, Kamarulzaman dikatakan telah pengsan di kediamannya di sana minggu lalu dan terus dihantar ke hospital di negara itu disebabkan pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di bahagian kepala.
Simpati dengan nasib lelaki berkenaan, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk membantu pesakit itu bagi meringankan bebanan membiayai kos perubatan dan rawatan di sana sejak minggu lalu.
Perkara itu dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Dato’ Nazri Ngah di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, berkata kerajaan negeri sumbangan itu untuk menampung kos rawatan di hospital berkenaan.
“Kira-kira RM11,000 diperlukan bagi menampung kos perubatan sehari dirawat di hospital itu dan dapat dilangsaikan melalui hasil kutipan dana daripada rakan-rakan senegara yang bekerja di sana,” katanya.
Sumbangan itu disempurnakan Nazri yang mewakili Wan Rosdy kepada anak sulung mangsa, Mohammad Zafifi Kamarulzaman di sini, hari ini.
“Diharapkan sumbangan ini dapat menampung kos tiket pergi dan balik anaknya ke sana untuk mengikuti perkembangan kesihatan bapanya,” katanya yang turut menyumbang RM3,000.
Sementara itu, Muhammad Zafifi berkata, dia menerima berita sedih itu menerusi kiriman WhatsApp oleh sepupu bapanya, Saloha Adlan, 27, yang juga bekerja di sana.
Katanya, dia sekeluarga diberitahu bapanya pengsan pada jam 8 malam waktu Korea Selatan dan dibantu oleh rakan serumah sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans.
“Tambah menyedihkan, menerusi ujian saringan pada pagi itu ayah dikesan positif COVID-19, lumpuh seluruh badan dan sehingga kini masih tidak sedarkan diri,” katanya.
Menurutnya, dia sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri terutama Wan Rosdy selain Nazri yang amat prihatin membantu meringankan perbelanjaan kos rawatan dan pemergiannya ke Korea Selatan.
“Saya dan keluarga juga berterima kasih kepada penyumbang yang menyalurkan bantuan untuk meringan kos rawatan dan perubatan bapa,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Muhammad Zafifi Kamarulzaman menerusi talian 014-8101377 atau +821075318557 (Solehah di Korea Selatan) atau sumbang terus ke akaun Maybank, 556-208-131-635. – MUHAMMAD NAJMIE