Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video
KUANTAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak perlu bertanding di Pahang, baik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), mahupun Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang merangkap Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata demikian dalam satu rakaman video yang disiarkan saluran MyKMU NET di YouTube, hari ini.
Wan Rosdy yang sebelum itu merasmikan serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Cameron Highlands, dilaporkan berkata, kenyataan itu juga adalah pendirian UMNO Pahang.
“Di negeri Pahang pada masa ini ada 42 kerusi (DUN), di mana 25 kerusi adalah milik Barisan Nasional (BN), lapan (PAS) dan sembilan (PKR dan DAP).
“Kita dalam Perikatan Nasional (PN) ada BERSATU (PPBM), jadi saya fikir, sebab BERSATU tidak ada kerusi di Pahang, seharusnya mereka tidak perlu bertanding di Pahanglah,” katanya.
Beliau berkata, pendirian sama diambil membabitkan pembahagian kerusi Parlimen di negeri ini.
“Di Parlimen kita ada sembilan BN, lima lagi kerusi, satu PN iaitu Indera Mahkota, empat lagi kita sudah bincang dan sebelum ini pun BERSATU tidak ada kerusi di Parlimen di Pahang ini, jadi saya berpendapat, BERSATU tidak perlu bertanding di Pahang, sebaliknya elok pergi di mana yang mereka ada kerusilah, itu pendirian (UMNO) Pahang,” katanya.
Rakaman video itu boleh disaksikan di alamat https://www.youtube.com/watch?v=g54MlbU5Kaw.