KUANTAN: Tidak mudah untuk mengusahakan tanah terbiar seperti yang diandaikan walaupun kerajaan negeri menggalakkan tindakan itu dilakukan.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana tanah terbiar itu kebanyakannya mempunyai pemilik tetapi tuan premis berada di luar kawasan sehinggakan tidak ada peluang untuk mengusahakannya.
Bagaimanapun, katanya, beliau bangga apabila pemilik datang ke pejabat tanah dan berjanji untuk mengusahakannya apabila kerajaan menghantar notis 8A kepada mereka untuk penjelasan cukai tanah.
“Tanah adalah sumber terhad. Kita harus mengusahakannya dengan bercucuk tanam atau apa saja yang sesuai dan mampu. Kalau ditanam sayur contohnya akan menghasilkan pendapatan tambahan kepada pemiliknya.
“Mungkin untuk kegunaan sendiri atau keperluan dalam negeri atau boleh dieksport, ” kata Wan Rosdy berkata selepas melawat kebun timun yang subur di Bukit Sekilau yang diusahakan oleh Koperasi Masjid Bukit Sekilau.
Wan Rosdy berkata demikian dalam rangka lawatan kerjanya ke Parlimen Indera Mahkota, hari ini.
Terdahulu, beliau beramah mesra dengan penduduk di Indera Mahkota 1 dan melawat pesakit, Kamaliah Ahmad, 68, di Bukit Sekilau.
Indera Mahkota adalah parlimen ketiga dalam siri lawatan jelajah #kitabersama beliau selepas Parlimen Jerantut dan Parlimen Paya Besa, masing-masing pada pertengahan November lalu.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abdul Rahim Muda; Ketua Bahagian UMNO Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustafar Kamal dan Ketua Bahagian UMNO Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar. – HUSIN IBRAHIM