MB sebak ketika hargai jasa Long Nan

MB sebak ketika hargai jasa Long Nan

KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kelihatan sebak ketika merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Adnan Yaakob pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, beliau menganggap Menteri Besar ke-14 itu sebagai guru dan mentornya dalam dunia politik serta pentadbiran kerajaan negeri.  

“Tan Sri Dato’ Sri Diraja (Adnan) adalah tokoh yang memimpin saya masuk ke gelanggang politik ketika saya masih bertugas di BERNAS (Padiberas Nasional Bhd).

“Sesungguhnya, begitu besar sumbangan yang dicurahkan Tan Sri Dato’ Sri Diraja sepanjang 19 tahun menjadi Menteri Besar Pahang dan 36 tahun sebagai wakil rakyat, antaranya memperkasakan Yayasan Pahang sebagai agensi kerajaan negeri yang komited memajukan pendidikan anak negeri ini,” katanya sambil diiringi tepukan meja oleh anggota DUN.

Wan Rosdy turut meminta ahli dewan untuk bangun dan memberikan tepukan gemuruh kepada Adnan yang mengumumkan persaraannya pada penggal ini, Selasa lalu. 

Beliau turut kelihatan sebak ketika mengakhiri ucapan penggulungannya dengan memohon maaf kepada semua ahli dewan seandainya pernah menyinggung mana-mana pihak sepanjang lebih empat tahun menjadi Menteri Besar. 

“Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung tidak lama lagi dan persidangan ini adalah terakhir pada penggal ini.

“Saya amat berharap, ahli yang berhormat daripada kedua-dua  pihak yang berada di dewan yang mulia ini, sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang supaya berlapang dada, bersiap sedia dari segi fikiran dan emosi serta menerima hakikat bahawa akan ada di antara kita yang akan terpilih dan tidak terpilih sebagai calon untuk bertanding pada PRU15 ini. Ia adalah ketentuan dan takdir Allah SWT,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN