KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengeluarkan notis dan kompaun terhadap peniaga kedai makan di Taman Gelora, di sini, yang menggunakan pinggan retak dan berdaki seperti yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.
Pegawai Perhubungan Awam (MBK), Norkamawati Kama berkata, susulan video tular berkenaan, pihaknya membuat semakan dan pemeriksaan lanjut di beberapa kedai di lokasi tumpuan ramai itu pada hari sama.
“Pemeriksaan dibuat Bahagian Kesihatan Persekitaran, Bahagian Penjaja dan Bahagian Penguatkuasaan selama hampir tiga jam berakhir kira-kira 7 malam, membabitkan lima kedai.
“Hasil pemeriksaan, empat notis dan tiga kompaun dikeluarkan kepada peniaga termasuk kedai yang ditularkan itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di YouTube mengenai kedai makan di Taman Gelora yang didakwa mengabaikan kebersihan dengan menggunakan pinggan retak dan berdaki.
Perkara itu ditularkan seorang tukang masak melalui ‘channel’ YouTube miliknya, dua hari lalu, dan video berdurasi 6.17 minit itu mendapat lebih 67,00 tontonan.
Menerusi video berkenaan, lelaki terbabit berkunjung ke kedai makan berkenaan bersama ahli keluarganya untuk menjamu selera.
Bagaimanapun selepas makan, mereka terkejut apabila mendapati pinggan yang digunakan retak dan selepas diperiksa, bahagian bawah pinggan juga berdaki.
Mereka mengadu perkara itu kepada pekerja kedai berkenaan namun hanya diberitahu tidak perasan. – FATH AHNAF