MBK kompaun lori kotorkan jalan, kereta buruk

MBK kompaun lori kotorkan jalan, kereta buruk

KUANTAN:  Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengeluarkan 52 kompaun berjumlah RM52,000 kepada syarikat pengangkutan kerana menyebabkan kekotoran jalan awam di Kawasan Perindustrian Gebeng, di sini, sepanjang tempoh dua minggu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MBK, Norkamawati Kamal, berkata tindakan penguatkuasaan itu dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974.  

“Kompaun paling banyak dikeluarkan pada 27 Disember lalu membabitkan 14 kompaun dengan anggaran nilai RM14,000, diikuti 29 Disember (RM11,000) seterusnya pada 28 dan 30 Disember 2022, masing-masing lapan dan tujuh kompaun.  

“Dua belas kompaun dikeluarkan pada 4 dan 5 Januari tahun ini sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan membabitkan nilai RM12,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.  

Tambahnya, pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan syarikat pengangkutan mematuhi peraturan.

Dalam perkembangan lain, Norkamawati berkata, pemantauan kereta buruk di kawasan  perumahan Sungai Karang Darat dan Taman Sri Mahkota Permai turut dilakukan.  

“Susulan daripada pemeriksaan itu, beberapa notis arahan pengalihan dikeluarkan oleh anggota penguatkuasa MBK kepada pemilik kenderaan.  

“Kegagalan untuk berbuat demikian boleh disabitkan di bawah seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya.  

Norkamawati berkata, lapan notis diberikan kepada pemilik kenderaan, di antara 1 hingga 8 Januari lalu.  

“Daripada jumlah itu, enam kenderaan disita manakala baki dua lagi sudah ditebus pemilik dengan bayaran RM300,” katanya. – FATH AHNAF